Setiap makhluk hidup di bumi mempunyai struktur anatomi masing-masing di mana setiap sel dan bahagian adalah saling berkait dan melengkapi satu sama lain. Begitu juga dengan tanaman kopi, ia juga tidak dapat dipisahkan daripada anatomi yang unik apabila dikaji. Ketahui lebih lanjut bahagian-bahagian penting minuman kegemaran anda ini. Semoga dengan mengenali lebih lanjut akan bertambah kenikmatan anda ketika mengambilnya bak kata pepatah ‘tak kenal maka tak cinta’.
Selepas mengenali anatomi pokok kopi secara ringkas dalam artikel sebelum ini, mari kita lihat anatomi buah kopi dengan pula seperti di bawah:

Ceri kopi mempunyai dua bahagian dikenali sebagai bahagian kulit dan biji. Bahagian pertama ialah bahagian kulit iaitu Perikarp yang mengandungi isi buah. Perikarp terdiri daripada tiga lapisan iaitu Eksokarp, Mesokarp, dan Endokarp. Eksokarp lebih dikenali sebagai kulit buah. Lapisan ini berada di kawasan paling luar buah kopi yang mempunyai warna berbeza mengikut fasa pertumbuhan dan kematangannya.
Mesokarp adalah lapisan kedua kulit buah kopi, secara amnya disebut sebagai pulpa atau isi buah. Lapisan ini mengandungi lapisan cecair yang paling tinggi dan mempunyai rasanya manis apabila sudah matang. Lapisan ketiga kulit kopi disebut Endokarp atau istilah lainnya perkamen yang berstruktur lebih tebal dan keras berbanding pulpa. Setiap lapisan mempunyai peranan dan manfaat yang tersendiri kepada biji benih kopi yang berada di dalam buah.
Seterusnya ialah bahagian kedua buah kopi iaitu bahagian bijinya. Bahagian ini adalah sangat penting dalam industri penanaman kopi dan perlu dipelihara dengan teliti untuk memastikan kualiti biji kopi yang dihasilkan bermutu tinggi. Bahagian biji buah kopi ini terdiri dari tiga lapisan utama iaitu lapisan spermoderma, endosperma, dan embrio.
Setelah melepasi lapisan kulit dan isi buah kopi, terdapat sebuah lapisan membran nipis yang memayungi biji kopi dipanggil Spermoderma. Lapisan ini lebih dikenali sebagai ‘kulit perak’ yang turut berfungi melindungi biji kopi selepas lapisan Endokarp. Manakala lapisan kedua biji kopi dipanggil Endosperma yang mengandungi minyak dan sebatian kimia memberi rasa kepada biji kopi. Lapisan terakhir pula dinamakan embrio iaitu benih kopi yang berfungi untuk pembiakan.
Hmm…Pernah tak anda terfikir kenapa buah kopi yang manis ini tidak dijual secara komersial seperti bijinya? Ketahui jawapannya di artikel yang seterusnya Anatomi Buah Kopi (Kulit & Isi) yang akan mengupas lebih lanjut bahagian pertama anatomi buah kopi.
Rujukan:
1. https://coffeeland.co.id/struktur-anatomi-buah-kopi-dalam-buah-ceri/
2. https://ottencoffee.co.id/majalah/anatomi-buah-ceri-kopi
3. https://www.aklcoffee.com/anatomi-buah-biji-kopi-ceri/
4. https://magys.home.blog/2019/09/30/anatomi-buah-kopi/
5. https://www.basnulcoffee.com/bagian-bagian-pada-buah-ceri-kopi/

