Apa itu Kopi?

by Munirah Haris

Kopi adalah sejenis minuman yang berasal daripada biji benih buah dari pohon kopi ( Coffea ) yang dipanggang dan dihancurkan menjadi serbuk. Serbuk biji kopi ini kemudiannya akan dicampurkan bersama air panas dan sedia untuk diminum begitu sahaja. Minuman berasaskan biji kopi ini juga biasanya akan disertakan bersama bahan-bahan lain seperti susu, krim, dan gula menghasilkan minuman berperisa pahit manis.

Minuman kopi ini mempunyai penggemarnya yang tersendiri oleh kerana kandungan bahan peransang kafien yang terdapat di dalamnya. Malah ada individu-individu yang menyediakan sudut kopi ekslusif di kediaman mereka bersama coffee maker supaya mereka dapat menikmati minuman ini pada bila-bila masa.

Terdapat pelbagai cara pembuatan air kopi sama ada dinikmati secara panas, sejuk, atau dihancurkan bersama ais (ice-blended) serta digabungkan bersama toppings seperti boba pearl, jelly, dan bijirin. Malah kewujudan kedai dan kafe berasaskan kopi yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan menambahkan pelbagai variasi serta perisa kopi untuk dicuba oleh si pecinta kopi. Dari kepelbagaian menu yang diinovasikan berasaskan kopi, secara umum perisa utama yang sering menjadi pilihan adalah Cappucino, Latte, Mocha, Americano, Esspresso, dan Machiato. Selain itu, terdapat juga pilihan lain berdasarkan kepada aspek pemprosesannya seperti kopi segera tiga dalam satu, kopi kisar halus (powder) atau kasar (granules), dan biji kopi original yang perlu di kisar sendiri terlebih dahulu.

Bukan itu sahaja kopi kini menjadi lebih dari sekadar sebuah minuman. Ia telah berinovasi dari menjadi minuman berkafien kepada sebuah fenomena global. Populariti kopi mendapat pengiktirafan masyarakat diperingkat antarabangsa sehingga menjadi antara perisa pilihan dalam makanan komersial seperti kek, kuih, roti, ais krim, dan pelbagai lagi menu lain.

Selain dari itu, biji, daun, dan batang pokok kopi turut dikomersialkan dan dijual dalam bentuk cenderahati, minyak wangi, aromaterapi, penghilang bau, penanda buku, serta sebagai dekorasi hiasan dapur. Dalam bidang perubatan, kopi juga menjadi salah satu alternatif penyembuhan penyakit manakala di dalam bidang fitness atau kecergasan, pengambilan kopi dengan kadar yang bersesuaian terbukti dapat membantu meningkatkan metabolisma badan seterusnya memberi kesan positif dalam proses pembakaran lemak.

Terdapat lebih dari 100 spesis biji kopi yang direkodkan di seluruh dunia. Antara spesis biji benih kopi utama yang yang sering dikomersialkan adalah Arabica, Robusta, dan Liberica. Biji-biji benih kopi ini datang dari pelbagai saiz, bentuk, warna, dan perisa, bergantung kepada kawasan dan keadaan di mana biji benih itu dihasilkan. Antara faktor yang dinilai dalam kualiti penghasilan biji kopi adalah faktor ketinggian altitude kawasan tanah di mana pohon kopi tersebut ditanam terutamanya aspek suhu yang mempengaruhi secara lansung kadar kualiti pohon kopi serta biji kopi yang dihasilkan.

Related Posts

Leave a Comment